السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

..designing your dreams..

Saturday, December 27, 2008

Sedekah Melalui Senyuman


Dari Abu Dzar RA., Rasulullah SAW bersabda :
"Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah"

(Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Senyum itu sedekah?
Begitu mudah untuk mendapat pahala sedekah tanpa mengeluarkan wang ringgit atau peluh !
Tapi,
benarkah senyum itu mudah?

Wednesday, December 24, 2008

errr... sori nak tanya.. dah ngaji hari ni?


Wahyu Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Kalam al-Quran adalah kalam yang lembut menyentuh sanubari, keras meragut kesedaran dan mantap memberi panduan dan galakan semangat. Rasulullah mendapat bimbingan terus daripada Allah swt. Sepanjang perjalanan dakwah baginda, hanya satu sumber ketenangan yang sentiasa bertiup ke dalam hati baginda. Itulah bimbingan motivasi dari Pengutus Rasul-rasul ke muka bumi, Allah Azza wa Jalla.

Lupakah kita tadabburi surah yang seringkali kita lafazkan diwaktu solat fardhu? Seakan-akan kita lupa pada lembutnya sapaan Tuhan pada rasulNya ketika turunnya wahyu ini.

Demi waktu Dhuha. dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan Sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu Berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan. (ad-Dhuha)

Maha Tinggi Allah yang sentiasa memberikan ketenangan kepada baginda saw dalam kehidupannya. Akan tetapi bagi kita yang menyahut seruan dakwah dan menggelari diri sendiri dengan gelaran daie, apakah wahyu Allah ini menjadi sumber ketenangan kita. Adakah sumber lain yang menjadi mainan halwa telinga kita untuk menghiburkan jiwa rona dan melepaskan perasaan?

Alangkah ajaib, apabila mereka yang mengakui mengikuti dakwah Islamiah, mengutamakan hiburan duniawi lebih dari kalam Allah yang agung. Bukan sedikit hiburan dan irama nasyid yang berkumandang di corong komputer yang mengalunkan lagu yang tidak jelas mesejnya, hanya sahaja ia digelari nasyid. Ungkapan ini adalah nasyid seolah-olah alasan tangkap-muat untuk justifikasi hiburan yang tidak melihat pada mesejnya, tapi sejauh mana munshidin mengalunkan suara pada vocal-vokal tertentu, sehebat mana paduan harmoni latar dan sebagainya.

Bukanlah Islam itu datang untuk mengharamkan perkara yang halal, cumanya mereka yang inginkan ketinggian di mata Allah swt pasti menghadkan perkara-perkara harus yang boleh menjerumuskan kepada kelalaian. Tidak terfikirkan kita pada kata-kata;

“Sesiapa yang inginkan darjat tertinggi di syurga, dia hendaklah berada di darjat yang tinggi dalam kehidupan dunia”

(al-Muntalaq)

Lupakah kita pada al-Quran, kalam Allah yang sentiasa dijaga tahun demi tahun? Yang mana pencipta liriknya tidak pernah futur, susunan bahasanya indah mengkagumkan hatta mereka yang tidak memahaminya? Ingatkan kita pada hadith dari al-Mustafa tentang kalamullah ini;

“Bacalah Quran dan menangislah. Jika kalian tidak boleh menangis, maka usahakanlah untuk menangis” (dr Saad ibn Waqqash , hadith dalam al-Lulu wal Marjan).

Khusyu’ ketika membaca al-Quran adalah cita-cita bagi setiap daie. Memang sukar untuk melaksanakannya, akan tetapi pengalaman berdakwahlah resepi utama kejayaan untuk khusu’ dalam sembahyang dan juga dalam mentadabburi al-Quran. Al-Quran ini jika diturunkan pada makhluk Allah yang lain, pasti akan leburlah ia kerana khusyu’ dan takut pada Allah. Wahai daie serata dunia, renungkanlah ayat surah al-Hasyr ini! Jadilah gunung-gunung itu, kuat dan pasak pada bumi, tapi ,lebur tika takut pada PenciptaNya! Alangkah indah menjadi gunung!

Lihatlah pada ahli kitab yang beriman ketika mana mereka menghayati al-Quran;

83. dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu Lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari Kitab-Kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan Kami, Kami telah beriman, Maka catatlah Kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s.a.w.).

84. mengapa Kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada Kami, Padahal Kami sangat ingin agar Tuhan Kami memasukkan Kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh?”.

Al-Imam al-Ghazali berkata; Cara memaksakan diri untuk menangis ialah menghadirkan kesedihan ke dalam hati, kerana dari kesedihan inilah akan munculnya tangis. Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya al-Quran itu turun dengan kesedihan. Jika kalian membacanya, maka paksakanlah untuk bersedih” (dr Abu Nuaim).

Adakah lagi sebarang keraguan untuk menjadikan al-Quran sebagai peneman kita di mana sahaja kita berada? Adakah ada hiburan lain yang lebih hebat dari hiburan yang diturunkan untuk menenteramkan manusia dari Allah swt. Apakah ada yang bergelar daie masih berasa bosan mendengar bacaan al-Quran dan menyukai hiburan-hiburan lain sedang mereka berbaiah “al-Quran itu penunjuk kami”. Apakah masih ada yang mahu beralasan “kami tidak faham bahasa arab lantas ia tidak meresap dalam jiwa kami, dan kami lebih suka hiburan yang lain”. Maka oleh itu usahalah untuk mendengar ayat-ayatNya selalu. Latihlah setiap ketika, untuk selalu mendengar ayat-ayatNya. Bagaimana kita harapkan mampu khusyu’ mendengarkan al-Quran apabila yang tercurah di telinga saban ketika hanyalah lagu-lagu lain. Mana mungkin mampu penghayatan jika hati-hati kita dibuai hiburan-hiburan lain?

Al-Quran adalah sumber asli untuk para daie. Biasakanlah hidup bersama al-Quran, nescaya jika anda hidup bersamanya, nikmat manisnya tidak terucap biar dengan ribuan kata-kata dan metafora.

Wallahu ‘alam.

Rujukan : al Quran al Karim, Bagaimana Berinteraksi dengan Al-Quran (Dr Yusuf al-Qaradawi)

Thursday, October 30, 2008

Sepahit Madu











Oleh `Izzat Anwari bin Hasni


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya. .." Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya....."

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

" Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.
Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.

***

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

[QS al-Taubah 9:24]

Friday, April 18, 2008

Kerana Kasih Sayang Allah




"Tatkala Allah menciptakan makhluk,

Allah telah menuliskan dalam kitab catatanNya

yang berada di sisiNya di atas Arasy bahawa,

"SESUNGGUHNYA KASIH SAYANGKU MENGALAHKAN MURKAKU"



(HR. Muslim)

Saturday, April 12, 2008

Di Telaga itu Rasul Menanti...

"Sesungguhnya aku menunggu
kedatangan kamu sekelian di telaga.
Barangsiapa melewati, dia pasti minum.
Dan barangsiapa minum, maka dia tidak akan dahaga selamanya."
(HR. Al-Bukhari)

Mengapa kita harus sampai dan minum di telaga itu?

Kehidupan di padang masyar adalah masa transisi dari rangkaian sebuah perjalanan yang panjang menuju kehidupan selanjutnya yang abadi. Di kehidupan itu, kita akan menemui berbagai kesulitan yang maha dasyat..yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun.
Berbaur dengan makhluk dari golongan jin, di sana kita dikumpulkan dan digiring menuju pengadilan Allah, Hakim yang maha bijaksana, dalam keadaan telanjang dan hina dina. Kekuasaan yang pernah diberikan kepada kita di bumi telah dicabut!

Kita semua akan berkumpul menjadi satu di bawah terik matahari yang menyengat panas. Tubuh kita berhimpitan satu sama lain, sangatrapat dan tiada celah sedikit pun. Keringat pun mengucur dari tubuh kita, jatuh membasahi bumi. Mula-mula hanya setinggi mata kaki, lalu semakin naik sesuai dengan martabat kita di sisi Allah SWT; apakah kita termasuk dalam golongan yang beruntung atau celaka.

Ada diantara kita yang keringatnya naik sampai paras lutut.....

Ada diantara kita yang keringatnya naik sampai paras pinggul.... paras bahu...
dan paras telinga..
Dan bahkan ada yang sampai paras atas kepala, hampir tenggelam dengan keringatnya sendiri.

Entah apa yang akan terjadi kepada kita seandainya hari ini kita meninggal dunia dan belum sempat bertaubat.
Kita bersesak-sesak seperti itu selama 1000 tahun, tanpa diajak bicara oleh Allah SWT barang sepatah kata pun. Nasib kita sungguh menyedihkan.. Sementara kepanikan ini belum selesai, di sisi lain kita terus didera kehausan yang belum pernah kita alami sama sekali.
Hari ini....
Kita belum pernah merasakan kesulitan itu.
Hari ini kita masih mampu ketawa.
Tetapi...
Suatu saat nanti kita akan mengalami kehausan yang teramat. Dan kala itu, tidak ada yang diberi minuman kecuali mereka.....

.....yang pernah memberi minum orang lain kerana Allah, tidak ada yang diberi makan kecuali orang yang pernah memberi makan orang lain kerana Allah, tidak ada orang yang diberi pakaian kecuali orang yang pernahmemberi pakaian orang lain kerana Allah, dan tidak ada yang diberi kepercayaan kecuali orang yang pernah bertawakkal kepada Allah.
Di telaga itu Rasulullah SAW menanti umatnya....
dengan luapan cinta dan kasih sayangnya, menyambut mereka yang sedang kehausan. Baginda sangat mengenali umatnya...mereka memiliki tanda-tanda yang tidak dipunyai oleh sesiapa pun dari umat lain.
"Kalian akan datang kepadaku dengan muka, lengan dan betis yang berkilauan kerana bekas air wudhu'" tegas baginda dalam sabdanya.
Dan....
Orang yang pertama kali datang menghampiri telaga itu adalah para fakir miskin dari golongan muhajirin. Anas b Malik menambah, "Orang yang pertama mendatangi telaga Rasulullah adalah orang-orang yang kurus kering yang berpuasa dan menetap di masjid. Ketika malam tiba, mereka menyambutnya dengan sedih".
Cinta Rasul kepada umatnya tidak akan pudar. Meski ada dikalangan umatnya yang dilarang datang menghampiri,baginda terus berdoa memohon kepada Allah agar mereka diperkenankan mendekati telaganya. Namun.. cinta itu tidak akan berpengaruh sedang kita tidak pandai membalas cinta baginda ketika di dunia denga mengikuti seruannya dan menghindari larangannya.
Perjalanan kita bukan sekadar terhenti di telaga itu... perjalanan kita menuju persinggahan terakhir; syurga atau neraka. Masih sangat panjang dan berat. Kita akan mengahadapi perhitungan amal yang kemudiannya akan ditimbang untuk diberikan balasan.
Seterusnya....
Kita akan menuju titian sirot dengan terlebih dahulu meniti 7 jambatan. Setiap satu jambatan kita akan ditanya tentang keimanan, solat, puasa Ramadhan, zakat, haji dan umrah, mandi wajib dan wudhu', dan kezaliman-kezaliman yang pernah kita lakukan sesama manusia. Sebahagian ulama' mengatakan bahawa kita tidak akan melangkah ke jambatan berikutnya sekiranya kita gagal pada jambatan sebelumnya.
Perjalanan setelah telaga sungguh..masih sangat panjang dan berat.. Walaupunbegitu, singgah minum di telaga Rasul ini sungguh sebuah kurniaan yang besar. Perjalanan memang belum selesai. Tapi mendapatkan minuman dari telaga yang sesudahnya tidak lagi ada rasa haus sungguh sanga didambakan. Itu akan sangat meringankan, di hari ketika segalanya berubah begitu mengerikan, panas, haus dan mencekam.
Di sana....
di telaga itu...
Rasul menanti...
Dipetik...TARBAWI edisi 124 Th. 7

Friday, January 18, 2008

Sambutan Maal Hijrah Mengikut Pandangan Dr Yusof Al-Qardhawi

Menyambut hari-hari kebesaran Islam
seperti sambutan awal tahun Hijrah bukanlah suatu yang haram
selagi mana ianya tidak disertai dengan perkara-perkara yang haram seperti percampuran lelaki perempuan dan sebagainya.

Sebahagian dari orang-orang Islam menganggap bahawa menyambut atau mengambil perhatian terhadap beberapa kisah sejarah Islam, atau menyambut peristiwa Hijrah Nabi s.a.w., peristiwa Isra’ dan Mikraj, Maulid Nabi s.a.w., peperangan Badar, pembukaan Mekah atau apa-apa peristiwa di dalam sirah Muhammad s.a.w. sebagai bid’ah di dalam agama. Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu akan ditempatkan di dalam neraka. Ini tidak benar sama sekali.
Apa yang dilarang adalah apa-apa sambutan yang disertai dengan kemungkaran, perlanggaran syara’ atau apa-apa yang tidak dibenarkan oleh Allah. Ini seumpama apa yang berlaku di sesetengah negara, mereka meyambut Maulid Nabi dan hari kelahiran para wali dan orang-orang soleh (dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syara’).
Tetapi jika kita mengambil peluang dari sambutan ini untuk mengingatkan tentang sirah Rasulullah s.a.w., keperibadiannya yang agung, risalahnya yang kekal yang dijadikan oleh Allah sebagai rahmat kepada sekelian alam; di manakah bid’ahnya dan di manakah kesesatannya?

Apabila kita bercakap tentang peristiwa-peristiwa ini, kita mengingatkan orang ramai tentang nikmat Allah yang besar. Mengingatkan nikmat Allah adalah suatu yang disyariatkan. Ianya terpuji bahkan dituntut.

Allah memerintahkan kita di dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”
(Al-Ahzab: 9-10)

Allah mengingatkan orang-orang beriman tentang perang Khandak atau juga dikenali sebagai perang Ahzab. Iaitu ketika suku Quraisy, suku Ghatfan dan sekutu mereka menyerang Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam di rumah mereka. Quraisy mengepung Madinah dan membentuk pagar untuk menghapuskan orang-orang Islam dan melenyapkan mereka. Allah menyelamatkan orang-orang Islam dari bencana itu. Allah mengutuskan angin dan malaikat, tentera yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Allah mengingatkan mereka tentang peristiwa itu. Ingatlah dan jangan lupa peristiwa itu. Ini bermakna Allah mewajipkan kita mengingati nikmat tersebut dan tidak melupakannya.

Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.”
(Al-Maidah: 11)

Allah mengingatkan mereka tentang tindakan Yahudi Bani Qainuqa’ yang berazam untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Mereka merancang tipu daya dan perancangan jahat. Tetapi perancangan Allah lebih kuat dan lebih pantas.

Mengingati nikmat Allah adalah suatu yang dituntut. Kita mengingatkan orang-orang Islam tentang nikmat Allah dalam perisitiwa-peristiwa ini. Kita mengingatkan mereka tentang pengajaran dan iktibar yang terkandung di dalam kisah-kisah itu.

Adakah ini suatu yang salah?
Adakah ini bid’ah dan kesesatan?

Armsleeves

Armsleeves
Code : AA1 (RM 15.00)

Code : AA2 (RM 15.00)