السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

..designing your dreams..

Sunday, September 23, 2007

Jika Kita Merindukan Syurga..



Saudaraku,


Marilah kita perkuatkan dan pertahankan semangat serta kesungguhan kita untuk memperbanyakkan amal di bulan Ramadhan ini. Bulan ini, adalah bulan dibukanya pintu-pintu syurga.


Seperti sabda Rasulullah SAW :


"Jika masuk bulan Ramadhan, dibukalah pintu-pintu langit",

dan dalam riwayat yang lain, "dibukalah pintu-pintu syurga".


Apakah kita menginginkan keindahan syurga yang disediakan Allah kepada hamba-hambaNya yang beruntung? Yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga dan terdetik dalam hati? Dapatkah kita membanyangkan tempat tinggal penghuni syurga yang dibangunkan oleh Allah dengan tanganNya sendiri berbentuk istana yang bahan bangunannya adalah batu bata emas dan perak sebening kaca? Buah-buahannya lebih lembut dari keju, lebih manis dari madu. Sungai-sungainya mengalirkan susu, madu, arak yang tidak memabukkan, air jernih yang tidak berubah rasanya. Keindahan wajah penghuninya bagaikan bulan di malam purnama, belum pernuh tersentuh oleh jin dan manusia, yang selalu tersenyum dan mengucapkan kalimat yang menyenangkan pasangan mereka. Makanan dan minumannya adalah hidangan istimewa yang tidak dapat dibayangkan kelazatannya. Tilam dan permaidaninya adalah tilam tebal dan sutera halus. Gelas dan piringnya diperbuat dari emas dan perak...


Sungguh...

sebuah janji yang tak pernah diingkari oleh Yang Maha Rahman. Apalagi jika Allah menyingkap tirainya. Subhanallah..dan terlihatlah wajahNya Yang Mulia sebagai nikmat teramat agung bagi hamba-hambaNya.


Saudaraku,


Bila kita termasuk dalam golongan orang yang menginginkan syurga, sesungguhnya tiada "pemburu Syurga" yang terlelap istirehat dan banyak tidur di bulan ini. Ketahuilah, bahwa Syurga saat ini telah tercipta dan ada sebagaimana disebutkan dalam al-Qur'anul karim..


"Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat (Jibril dengan rupanya yang asli) dalam waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratil Muntaha. Didekatnya ada Syurga tempat tinggal"

(An-Najm : 13 - 15)


Rasulullah SAW bersabda, di dalam Syurga terdapat 8 pintu. Diantaranya adalah pintu Ar-Rayyan yang diperuntukkan untuk orang yang berpuasa. Seorang wanita yang rajin solat 5 waktu dan berpuasa, lalu meninggal dunia ketika suaminya redha, maka dia akan dipersilakan untuk masuk ke Syurga dari mana-mana pintu yang dia sukai. Pintu-pintu syurga akan sentiasa terbuka , orang yang solat akan masuk pintu solat, yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad, dan yang bersedekah akan masuk dari pintu sedekah (HR Bukhari Muslim).


Luas dan lebar pintu Syurga seperti jarak pengendara tercepat selama 3 hari, jarak antara satu pintu dengan pintu lainnya seperti Makkah dan Busyra (Muttafaqun 'Alaih)


Mudah-mudahan kita termasuk orang yang mengimani adanya Syurga dengan segala sifatnya, dan berupaya memburunya. Semoga kita termasuk orang yang menyedikitkan tidur untuk membayar maharnya.


Bulan ini... adalah kesempatan paling besar untuk masuk Syurga.


Saudaraku,


Solat adalah lebih baik dari tidurmu..

Bersusah payah di bulan ini adalah lebih baik dari bersantai-santai dan berangan-angan. Siapa yang menginginkan "dagangan" Allah, harus mengetahui bahawa dagangan Allah itu mahal nilainya.. Dan dagangan Allah itu adalah SYURGA.


Renungilah firmanNya dalam surah al-Insan : 13 - 21.


Dipetik dari buku "Kubisikkan Untukmu : Renungan Mutiara Hati di Bulan Suci" - Tarbawi Press


Monday, September 10, 2007

Wanita haid boleh pegang dan baca al-Qur'an?


Oleh : Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?


Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.


Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.
Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:


Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

[al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.


Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:


Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80][2]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]


Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.


Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.


Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’.


Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:


Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]


Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.


Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

TOP

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.


Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]


Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.


Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6]


Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.


Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.


Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub.


Mendengar itu Rasulullah bersabda:


Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]


Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.


Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya.
Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Kesimpulan:


Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:


Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]


Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.


-------------------------------------------------------------------------------------------


[1] Sahih: Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82.


[2] Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat wajib berwudhu’ sebelum memegang al-Qur’an, baik bagi lelaki atau wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib berwudhu’. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekalipun tanpa berwudhu’.


[3] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.


[4] Dha‘if: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha‘if. Shaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.


[5] Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).


[6] Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).


[7] Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu’).


[8] Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.


[9] Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

Wednesday, September 5, 2007

Dah bersedia nak sambut Ramadhan?




أهلا وسهلا يا رمضان



Dalam menyambut Ramadhan, Rasulullah SAW telah mempersiapkan diri baginda sejak bulan Sya'aban. Baginda menyambut Ramadhan dengan pelbagai persiapan; persiapan dari sudut fizikal dan mental.

Rasulullah SAW... bagindalah figur terindah dan terbaik dalam sejarah penciptaan manusia. Mengapa tidak kita contohi insan yang terbaik ini dalam setiap tindak-tanduk kita..?

Dari sudut persediaan fizikal

1. Rasulullah SAW mempersiapkan dirinya dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Sebahagian ulama' berpendapat bahawa berpuasa di bulan Sya'aban itu ibarat latihan untuk menghadapi puasa wajib di bulan Ramadhan. Hal ini agar seseorang itu tidak merasa terbeban dengan puasa Ramadhannya kerana telah terbiasa dengan ibadah ini di bulan sebelumnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah ra : beliau berkata, Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami mengira baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami mengira baginda tidak berpuasa. Kami tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh selain Ramadhan. Dan kami tidak melihat baginda berpuasa lebih banyak selain bulan Sya'aban."

(HR Imam Bukhari)


2. Rasulullah SAW juga mempersiapkan dirinya dengan bacaan al-Qur'an. Membaca al-Qura'an di bulan Sya'aban akan menghilangkan karat-karat dosa beberapa bulan sebelumnya sehingga hatinya kembali bersedia menerima petunjuk dan cahaya al-Qur'an di bulan Ramadhan.



Allah berfirman:




Sesungguhnya orang2 yang beriman itu adalah mereka yang jika disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan jika dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanan mereka keranya dan kepada Rabb-lah mereka bertawakkal.



(al-Anfal : 2)

Dari sudut persediaan mental

1. Rasulullah SAW sering menyebut-nyebut kelebihan Ramadhan dengan segala amalan yang dituntut untuk melaksanakannya sejak Rajab dan Sya'aban.



Rasulullah SAW bersabda di akhir Sya'aban :


"Wahai manusia, bulan yang agung telah menaungi kalian. Bulan penuh berkah yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai amalan wajib dan menetapkan qiamullailnya (solat tarawikh) sebagai sunnah. Barangsiapa yang bertaqarrub kepadaNya dengan suatau kebaikan (amalan wajib), ia bagaikan melakukan 70 kali amalan wajib di bulan lainnya. Bulan itu adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga. Ia adalah bulan berderma, bulan yang di dalamnya rezki mukmin ditambah. Barangsiapa memberi makanan berbuka kepada orang berpuasa, maka hal itu akan menjadi pengampunan bagi dosa-dosanya, menjadi pembebasnya dari api neraka, dan akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tadi tanpa dikurangi sedikit pun....



(HR Imam Ibn Khuzaimah)



2. Apabila masuknya bulan Rajab, Rasulullah SAW sering memperbanyakkan doa.


Doa baginda :


"Ya Allah, Berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya'aban dan berkahilah kami di bulan Ramadhan."



(HR Imam Ahmad)


Marilah sama-sama kita berlumba mengejar kebaikan..






Al-Qur'an Miracles

Miracles1


Miracles2


Miracles3


Miracles4


Miracles5


Miracles6


Miracles7

Tuesday, September 4, 2007

Bagaimana Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah?





Oleh: Al-Ustaz Dr Fathi Yakan








Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduanya. Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat intraktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan.



Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.



Benarlah seperti firman Allah taala yang bermaksud:


Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.


(an Nisa’ 165)





Dan firman Allah maksudnya:


Dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu


menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.


(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali???.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini:


“biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba,

kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai

dengan kesudahan yang sangat merbahaya”.

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya.

1. Seseorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.


2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret kepada kematiannya dalam keadaan dia tidak menyedarinya.


3. Duduk di hadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan didunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata. Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru. Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa. Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merialisasikan kebersamaan ini sesaorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan “muraqabah” dan “muhasabah” serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi dizaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut dimana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan

malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu

hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka,

mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang,

beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi

antara mereka ada puak yang menjual akhlak

dan agama mereka dengan habuan dunia.

(hadis riwayat Ahmad)



Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh.



Amin ya rabba al 'alamin.

Armsleeves

Armsleeves
Code : AA1 (RM 15.00)

Code : AA2 (RM 15.00)