السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

..designing your dreams..

Friday, January 18, 2008

Sambutan Maal Hijrah Mengikut Pandangan Dr Yusof Al-Qardhawi

Menyambut hari-hari kebesaran Islam
seperti sambutan awal tahun Hijrah bukanlah suatu yang haram
selagi mana ianya tidak disertai dengan perkara-perkara yang haram seperti percampuran lelaki perempuan dan sebagainya.

Sebahagian dari orang-orang Islam menganggap bahawa menyambut atau mengambil perhatian terhadap beberapa kisah sejarah Islam, atau menyambut peristiwa Hijrah Nabi s.a.w., peristiwa Isra’ dan Mikraj, Maulid Nabi s.a.w., peperangan Badar, pembukaan Mekah atau apa-apa peristiwa di dalam sirah Muhammad s.a.w. sebagai bid’ah di dalam agama. Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu akan ditempatkan di dalam neraka. Ini tidak benar sama sekali.
Apa yang dilarang adalah apa-apa sambutan yang disertai dengan kemungkaran, perlanggaran syara’ atau apa-apa yang tidak dibenarkan oleh Allah. Ini seumpama apa yang berlaku di sesetengah negara, mereka meyambut Maulid Nabi dan hari kelahiran para wali dan orang-orang soleh (dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syara’).
Tetapi jika kita mengambil peluang dari sambutan ini untuk mengingatkan tentang sirah Rasulullah s.a.w., keperibadiannya yang agung, risalahnya yang kekal yang dijadikan oleh Allah sebagai rahmat kepada sekelian alam; di manakah bid’ahnya dan di manakah kesesatannya?

Apabila kita bercakap tentang peristiwa-peristiwa ini, kita mengingatkan orang ramai tentang nikmat Allah yang besar. Mengingatkan nikmat Allah adalah suatu yang disyariatkan. Ianya terpuji bahkan dituntut.

Allah memerintahkan kita di dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”
(Al-Ahzab: 9-10)

Allah mengingatkan orang-orang beriman tentang perang Khandak atau juga dikenali sebagai perang Ahzab. Iaitu ketika suku Quraisy, suku Ghatfan dan sekutu mereka menyerang Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam di rumah mereka. Quraisy mengepung Madinah dan membentuk pagar untuk menghapuskan orang-orang Islam dan melenyapkan mereka. Allah menyelamatkan orang-orang Islam dari bencana itu. Allah mengutuskan angin dan malaikat, tentera yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Allah mengingatkan mereka tentang peristiwa itu. Ingatlah dan jangan lupa peristiwa itu. Ini bermakna Allah mewajipkan kita mengingati nikmat tersebut dan tidak melupakannya.

Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.”
(Al-Maidah: 11)

Allah mengingatkan mereka tentang tindakan Yahudi Bani Qainuqa’ yang berazam untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Mereka merancang tipu daya dan perancangan jahat. Tetapi perancangan Allah lebih kuat dan lebih pantas.

Mengingati nikmat Allah adalah suatu yang dituntut. Kita mengingatkan orang-orang Islam tentang nikmat Allah dalam perisitiwa-peristiwa ini. Kita mengingatkan mereka tentang pengajaran dan iktibar yang terkandung di dalam kisah-kisah itu.

Adakah ini suatu yang salah?
Adakah ini bid’ah dan kesesatan?

Friday, November 2, 2007

Mari Bersama Mereka....


Berikut adalah sebahagian daripada amanat

Dr Khalil al-Haya mewakili HAMAS di Palestin untuk umat Islam di Malaysia.

Beliau telah berada di Malaysia pada tarikh 11 Mei-17 Mei 2006 untuk siri kempen
"Bersama Menyokong Rakyat Palestin dan kerajaan HAMAS".
(Pesanan ini telah diterjemahkan oleh Maszlee Malik di atas permintaan Dr. Khalil)

Umat Islam di Malaysia,

Kami mengharapkan agar anda bersikap pro-aktif.

Kami mengharapkan agar anda menyumbang USD 1 (RM 3.60) setahun sahaja untuk menanggung kesengsaraan rakyat Palestin.

Kami juga mengharapkan agar anda melobi kerajaan anda yang menjadi pengerusi OIC untuk melakukan sesuatu.

Kami juga berharap dari anda untuk melakukan kempen kesedaran, dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk turut membantu rakyat Palestin.

Kami juga ingin melihat anda menjadi juara di peringkat antarabangsa di dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media anda dengan isu Palestin dan al-Aqsa. Halakan mereka untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Kepalailah usaha serantau untuk tujuan tersebut, andalah harapan kami.

Dan akhir sekali, kami mengharapkan agar anda tidak melupakan kami di dalam doa-doa anda sekalian. Berdoalah agar kami thabat di dalam perjuangan. Berdoalah agar kami tetap di dalam perjuangan kami. Berdoalah agar kami dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga, agar kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid al-Aqsa satu hari nanti, di mana pada waktu itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini...Allah Akbar!!!

Saudaramu,
Khalil Ismail al-Haya Ketua Whip HAMAS di Majlis Legaslatif Palestin,
14 Mei 2006

Tuesday, October 23, 2007

'Aid Mubarok

'Aid Mubarok !

Semoga Ibadah Ramadhan kita diterimaNya
dan dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang.

Aidilfitri ini..
kembalinya kita kepada fitrah..
fitrah kita adalah bersih dan suci dari segala noda dan dosa.
Teruskan dan istiqomahlah dalam beramal
dengan amalan mulia kita ketika Ramadhan.

Mudah2an rahmat Allah sentiasa bersama kita
dalam usaha kita mengekalkan fitrah suci.
Ameen..

Salam Aidilfitri

Mohon Ampun dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua
atas segala kesilapan dan keterlanjuran.

Salam Sayang,
" Seni Puteh 2007 "

Sunday, October 7, 2007

Orang yang menyediakan sahur mendapat pahala yang sama seperti orang yang solat?



Soalan:

Apakah ganjaran yang diperolehi oleh mereka yang sibuk di lewat malam menyediakan makanan untuk bersahur kepada orang lain? Ketika orang lain berada di masjid atau di bilik masing-masing menunaikan tahajjud, mereka yang bertanggungjawab menyediakan makanan untuk orang lain terlalu sibuk untuk menunaikan perkara-perkara tersebut. Sesetengah daripada mereka mungkin sempat untuk menunaikan beberapa rakaat solat bersendirian, akan tetapi mereka tentu sekali akan terlepas untuk berjemaah dan mereka tidak akan dapat bersolat sebagaimana orang-orang yang disediakan makanan. Sudah tentu orang yang menyediakan makanan tidak akan dapat beri’tikaf di dalam masjid – tetapi akan memberi makan kepada mereka yang beri’tikaf.

Dijawab oleh Sheikh Sulayman al-`Isa, profesor di Universiti al-Imam, Riyadh

Mereka yang terhalang daripada menunaikan sembahyang malam disebabkan mereka terpaksa menyediakan makanan sahur akan menerima ganjaran yang sama seperti menunaikan sembahyang. Sebetulnya, mereka mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih hebat untuk diri mereka atas tugas yang mereka tunaikan kepada mereka yang bersolat.

Terdapat bukti dalam Sunnah mengenai ganjaran ini. Antaranya, Anas meriwayatkan yang berikut:

Kami bersama Rasulullah SAW dalam satu pengembaraan (safar). Sesetengah daripada kami memilih untuk berpuasa di manakala yang lain memilih untuk menahan daripada berpuasa (berbuka) memandangkan kami sedang mengembara (bersafar). Pada hari yang sangat panas, kami berkhemah di satu tempat. Mereka yang berpuasa benar-benar letih dan tidak mampu untuk melakukan apa perkara. Mereka yang memilih untuk tidak berpuasa mendirikan khemah dan memberi minum binatang.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Mereka yang menahan diri daripada berpuasa mendapat ganjaran pada hari ini.”
[Sahîh al-Bukhari (2890) and Sahîh Muslim (111)]

Dalam pada masa yang sama, orang yang menyediakan makanan sahur di bulan Ramadhan perlu melakukan apa yang terbaik untuk menunaikan solat di malam hari – walaubagaimanapun ringkas.

Sekiranya mereka di kalangan orang yang menunaikan solat secara berjemaah, mereka perlu cuba untuk sekurang-kurang berwitir bersama-sama imam di masjid, dalam usaha untuk mendapatkan ganjaran bersolat sepanjang malam – yang datang dengan menghabiskan solat dengan imam.

Dan Allah Maha Mengetahui.

Artikel asal di islamtoday.com

Terjemahan oleh Ariff.Arifin (http://life-verses.blogspot.com)

Sunday, September 23, 2007

Jika Kita Merindukan Syurga..



Saudaraku,


Marilah kita perkuatkan dan pertahankan semangat serta kesungguhan kita untuk memperbanyakkan amal di bulan Ramadhan ini. Bulan ini, adalah bulan dibukanya pintu-pintu syurga.


Seperti sabda Rasulullah SAW :


"Jika masuk bulan Ramadhan, dibukalah pintu-pintu langit",

dan dalam riwayat yang lain, "dibukalah pintu-pintu syurga".


Apakah kita menginginkan keindahan syurga yang disediakan Allah kepada hamba-hambaNya yang beruntung? Yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga dan terdetik dalam hati? Dapatkah kita membanyangkan tempat tinggal penghuni syurga yang dibangunkan oleh Allah dengan tanganNya sendiri berbentuk istana yang bahan bangunannya adalah batu bata emas dan perak sebening kaca? Buah-buahannya lebih lembut dari keju, lebih manis dari madu. Sungai-sungainya mengalirkan susu, madu, arak yang tidak memabukkan, air jernih yang tidak berubah rasanya. Keindahan wajah penghuninya bagaikan bulan di malam purnama, belum pernuh tersentuh oleh jin dan manusia, yang selalu tersenyum dan mengucapkan kalimat yang menyenangkan pasangan mereka. Makanan dan minumannya adalah hidangan istimewa yang tidak dapat dibayangkan kelazatannya. Tilam dan permaidaninya adalah tilam tebal dan sutera halus. Gelas dan piringnya diperbuat dari emas dan perak...


Sungguh...

sebuah janji yang tak pernah diingkari oleh Yang Maha Rahman. Apalagi jika Allah menyingkap tirainya. Subhanallah..dan terlihatlah wajahNya Yang Mulia sebagai nikmat teramat agung bagi hamba-hambaNya.


Saudaraku,


Bila kita termasuk dalam golongan orang yang menginginkan syurga, sesungguhnya tiada "pemburu Syurga" yang terlelap istirehat dan banyak tidur di bulan ini. Ketahuilah, bahwa Syurga saat ini telah tercipta dan ada sebagaimana disebutkan dalam al-Qur'anul karim..


"Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat (Jibril dengan rupanya yang asli) dalam waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratil Muntaha. Didekatnya ada Syurga tempat tinggal"

(An-Najm : 13 - 15)


Rasulullah SAW bersabda, di dalam Syurga terdapat 8 pintu. Diantaranya adalah pintu Ar-Rayyan yang diperuntukkan untuk orang yang berpuasa. Seorang wanita yang rajin solat 5 waktu dan berpuasa, lalu meninggal dunia ketika suaminya redha, maka dia akan dipersilakan untuk masuk ke Syurga dari mana-mana pintu yang dia sukai. Pintu-pintu syurga akan sentiasa terbuka , orang yang solat akan masuk pintu solat, yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad, dan yang bersedekah akan masuk dari pintu sedekah (HR Bukhari Muslim).


Luas dan lebar pintu Syurga seperti jarak pengendara tercepat selama 3 hari, jarak antara satu pintu dengan pintu lainnya seperti Makkah dan Busyra (Muttafaqun 'Alaih)


Mudah-mudahan kita termasuk orang yang mengimani adanya Syurga dengan segala sifatnya, dan berupaya memburunya. Semoga kita termasuk orang yang menyedikitkan tidur untuk membayar maharnya.


Bulan ini... adalah kesempatan paling besar untuk masuk Syurga.


Saudaraku,


Solat adalah lebih baik dari tidurmu..

Bersusah payah di bulan ini adalah lebih baik dari bersantai-santai dan berangan-angan. Siapa yang menginginkan "dagangan" Allah, harus mengetahui bahawa dagangan Allah itu mahal nilainya.. Dan dagangan Allah itu adalah SYURGA.


Renungilah firmanNya dalam surah al-Insan : 13 - 21.


Dipetik dari buku "Kubisikkan Untukmu : Renungan Mutiara Hati di Bulan Suci" - Tarbawi Press


Monday, September 10, 2007

Wanita haid boleh pegang dan baca al-Qur'an?


Oleh : Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?


Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.


Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.
Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:


Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

[al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.


Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:


Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80][2]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]


Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.


Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.


Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’.


Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:


Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]


Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.


Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

TOP

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.


Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]


Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[5]

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.


Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6]


Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.


Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.


Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub.


Mendengar itu Rasulullah bersabda:


Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]


Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.


Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya.
Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Kesimpulan:


Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:


Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]


Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.


-------------------------------------------------------------------------------------------


[1] Sahih: Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82.


[2] Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat wajib berwudhu’ sebelum memegang al-Qur’an, baik bagi lelaki atau wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib berwudhu’. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekalipun tanpa berwudhu’.


[3] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.


[4] Dha‘if: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha‘if. Shaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.


[5] Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).


[6] Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).


[7] Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu’).


[8] Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.


[9] Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

Armsleeves

Armsleeves
Code : AA1 (RM 15.00)

Code : AA2 (RM 15.00)